Sejak pelbagai isu yang melanda
Negara kita ketika ini, saya merasa terpanggil untuk menceritakan sejarah yang
berlaku kepada ayahanda saya, yang mana beliau kini telah berusia 59 tahun.
Beliau bukan sahaja seorang ayah bagi saya tetapi juga beliau juga bertindak
sebagai mentor. Malah,beliau bukan seorang pakar sejarah juga bukan pakar dalam
bidang agama, tetapi beliau adalah anak
seorang anggota polis suatu tika dulu. Kini, ayah seorang penternak ikan air
tawar.
Ketika di waktu lapang,kami
sekeluarga sering berkumpul bersama dan ketika inilah ayah sering bercerita
tentang kehidupannya semasa kecil dan alam persekolahannya. Walaupun ayah hanya
berkelulusan L.C.E, tetapi dengan pengalaman yang beliau tempuhi selama 59
tahun inilah yang telah membuatkan kami
adik beradik amat menyegani dan menyanjungi beliau.
Antara perkongsian kehidupannya
kepada kami yang paling membuatkan saya tertarik untuk berkongsi dengan
rakan-rakan adalah mengenai peristiwa penting Negara iaitu “Tragedi 13 Mei
1969”. Ketika itu ayah berusia 13 tahun
dan berada di Sekolah Menengah Sri Gading di daerah Rawang, Selangor.
Waktu itu juga arwah datuk(bapa kepada ayah) adalah seorang anggota polis yang
bertugas di Kg. Baru Kundang, di mana majoriti penduduknya adalah terdiri
daripada bangsa cina. Pekan baru Kundang hanya terletak lebih kurang 15km dari
Pekan Rawang. Kebetulan ketika itu balai dan beret polis di Kg. Baru Kundang
dalam proses pembinaan semula. Oleh itu, anggota polis yang bertugas di situ
dan keluarga masing-masing terpaksa menyewa di sekitar Kundang. Keluarga datuk
terpaksa menyewa di sebuah bilik yang terletak di belakang sebuah kelab MCA di
pekan Kundang.
Dipendekkan cerita, ketika itu
berlangsung pilihanraya umum dan keputusannya seri untuk parti Perikatan dan
parti pembangkang. Keputusan itu menandakan kerajaan tidak boleh diwujudkan.
Apa yang berlaku ialah di mana parti pembangkang dengan bongkaknya berarak di
seluruh pekan termasuklah di kawasan Kundang,tempat di mana keluarga ayah
tinggal. Seluruh ahli keluarga ayah keluar untuk melihat apa yang berlaku. Dengan usia yang masih setahun jagung,ayah
pastinya belum tahu kenapa berlakunya perarakan tersebut. Apa yang dilihat
ialah parti pembangkang yang berarak dengan lori yang membawa muatan penuh
penyokong-penyokongnya yang memegang sepanduk parti gambar kepala kerbau sambil
bersorak dan menjerit. Apabila tiba di hadapan keluarga ayah, mereka melaungkan
kata-kata kesat yang berbaur perkauman sambil bertindak mengacahkan
batang-batang kayu dan cangkul yang dibawa bersama mereka. Dan antara ayat yang
masih kuat dalam ingatan ayah sehingga kini ialaha “ORANG MELAYU SUDAH KALAH,
BOLEH BALIK KAMPUNG!!!!INI NEGERI KITA PUNYA”. Ayah dan keluarga hanya
tercengang-cengang melihat gelagat melampau mereka. Menurut ayah, pada waktu
itu atuk masih bertugas di balai polis dan belum pulang. Hanya nenek,ayah dan
adik beradik ayah yang menyaksikan kejadian tersebut. Jiwa muda ayah amat ingin
tahu apa yang telah berlaku dan apa yang akan berlaku seterusnya.
Pada jam 5.30 petang, datuk pulang dengan
keadaan yang tergesa-gesa sambil membawa selaras senapang dan beberapa papan peluru.
Kata ayah,lazimnya datuk tidak pernah membawa balik senapang. Dalam perbualan
datuk dan nenek, ayah telah diberitahu bahawa Kuala Lumpur diistiharkan sebagai
kawasan hitam dan keadaan itu mungkin akan merebak ke seluruh Selangor. Anggota
polis telah diarahkan untuk menjaga keselamatan keluarga masing-masing. Menurut
ayah, datuk mengatakan telah berlaku pergaduhan dan rusuhan antara kaum secara
besar-besaran.
Pada hari tersebut, seluruh keluarga
ayah berada dalam keadaan tidak menentu kerana takut dan bimbang kerana sekitar
kediaman mereka dikelilingi kaum cina. Datuk mengarahkan semua anak-anaknya
berzikir dan berdoa bagi mempertahankan diri. Datuk juga membekalkan ayah
sebilah parang dan mengarahkan ahli keluarga yang lain bersiap sedia dalam apa
jua keadaan yang akan berlaku. Untuk dijadikan cerita, muncul seorang budak
India yang umurnya lebih kurang sebaya dengan ayah ketika itu mempelawa diri
dan bermurah hati untuk mempertahankan keluarga datuk dari diserang atau
diceroboh.
Di malam pertama, ayah tidak dapat
tidur memikirkan apa yang bakal terjadi . Siaran berita di TV menunjukkan Tunku
Abdul Rahman mengistiharkan perintah darurat dan meminta semua kaum bersabar. Dalam
loghat Kedah, Tunku Abdul Rahman berulang kali menyuruh rakyat
“sabar,sabar..”.Sementelah itu, seluruh keluarga ayah hanya berkurung dalam
bilik yang disewa. Sesekali ayah mengintai keadaan diluar dari celahan kepingan
papan dinding. Katanya, keadaan seperti hendak berperang dengan ramai orang
mundar-mandir membawa parang, tombak dan pelbagai jenis senjata lain di jalan
sebelah bilik sewa mereka. Datuk memberi arahan kepada nenek dan anak-anaknya
agar berlawan habis-habisan sekiranya orang-orang cina cuba masuk menceroboh.
Semangat ayah ketika itu sangat tinggi dan Alhamdulillah malam itu berlalu
tanpa berlaku apa-apa kejadian yang tidak diingini.
Pada keesokan pagi,pekan Kundang dan
Kg. Baru Kundang seperti baru lepas diserang garuda atau naga kerana tiada
seorang yang manusia kelihatan. Seluruh keluarga ayah dan budak india tersebut
terus berkurung dalam bilik dengan debaran dan makan apa sahaja yang dikongsi
bersama sambil menunggu malam tiba.
Tanpa hubungan telefon dan tiada maklumat dari polis lain, hanya siaran
tv yang menyiarkan ucapan Perdana Menteri,Tunku Abdul Rahman dan diselitkan
berita-berita kawasan yang berlakunya tragedi.
Menurut ayah,ketika itu dia hanya
berbicara dalam hati. Siang berganti malam, difikiran ayah tertanya-tanya apa
yang akan berlaku pada malam seterusnya. Makan dan minum ketika itu hanyalah
sekadar untuk mengalas perut sambil menunggu datangnya hari esok yang belum
tentu apa yang akan berlaku. Tiba-tiba dalam keheningan malam itu, keluarga
ayah dikejutkan dengan suara orang memekik-mekik dan pukulan gendang naga. Jam
menunjukkan 9.30 malam.
Datuk, nenek , ayah dan adik
beradiknya yang lain serta budak India yang bernama Kandiah telah bersedia
dengan apa jua kemungkinan yang bakal terjadi.Takut tetap ada, namun semangat
dan jiwa muda ayah tetap kental walaupun baru berumur 13 tahun kerana ayah
percaya hidup dan mati itu adalah ketentuan Allah. Keriuhan gendang dan pekikan
berlangsung lebih kurang setengah jam dan terus reda. Lebih kurang jam 10
malam, keluarga ayah tersentak lagi bila pintu bilik sewa diketuk. Dari celahan
papan, ayah Nampak ada 6-7 orang cina diluar
dan tidak tahu apa tujuan kedatangan mereka. Dalam hati ayah terfikir malam
yang tidak di duga bakal berlaku.
Agak lama juga mereka mengetuk pintu
dengan mengatakan kedatangan mereka bertujuan untuk meminta pertolongan
daripada datuk, bukannya untuk menyerang atau mengapa-apakan keluarga datuk.
Kemudian, seorang daripada mereka memperkenalkan diri sebagai Ketua Kampung
Baru Kundang. Pada mulanya nenek tidak membenarkan datuk membuka pintu untuk
membantu orang-orang tersebut kerana datuk hanya berpangkat prebet sahaja.
Mereka sepatutnya memohon pertolongan dari Sarjan polis di Balai Polis Kundang.
Setelah membuka pintu, orang tersebut memaklumkan mereka telah bertemu Sarjan
di balai, namun Sarjan menyuruh mereka bertemu datuk saya kerana katanya hanya
datuk saya yang boleh membantu kerana ketika itu selain sebagai seorang anggota
polis, arwah datuk juga turut dikenali sebagai ustaz kerana ilmu agama yang ada padanya. Ketua kampong
tersebut menyatakan yang mereka tidak seperti mereka yang lupa diri yang lain
dan kedatangan mereka ke Malaysia adalah untuk mencari rezeki dan bukan untuk
bergaduh dengan sesiapa.
Dipendekkan cerita, ketua kampong
tersebut memaklumkan yang kumpulan mereka yang menjaga keselamatan Kg.Baru
Kundang telah ternampak sekumpulan orang ramai berserban putih menghampiri
kampung dari arah Kuang untuk menyerang. Sebab itulah mereka datang berjumpa
datuk bagi menyuruh datuk berjumpa dengan ketua kumpulan yang berserban putih
tersebut dan memohon agar tidak menyerang kampung mereka.
Memikirkan keselamatan orang ramai,
datuk menuruti permintaan mereka dan mengikut mereka ke tempat yang
dimaksudkan. Lebih kurang 1 jam,datuk masih belum pulang. Nenek, ayah dan adik
beradik yang lain amat risau dan berdoa agar tiada apa yang berlaku pada datuk.
Seketika kemudian, datuk balik dengan wajah yang serius. Ayanh cuba bertanya
apa yang telah berlaku,datuk menjawab yang dia akan menceritakan pada keesokan
hari dan menyuruh semua ahli keluarga tidur. Sedangkan, datuk masih berjaga
dengan senjata erat ditangannya.
Pada hari ke-3,bekalan makanan hampir
habis,seluruh ahli keluarga hanya makan lempeng tepung dan minum kopi sahaja.
Ketika minum, sekali lagi ayah bertanya datuk tentangkejadian malam tadi.
Sambil tersenyum, datuk mengatakan ada berkat untuk orang yang ikhlas dalam
melakukan amal ibadah. Berdoa atas keselamatan seluruh orang Islam dan masih
ada orang-orang yang punya ilmu. Apa yang berlaku pada malam itu adalah
kehendak Allah swt. Sebenarnya,sekumpulan kerbau bila dipantul cahaya bulan
penuh,ia terlihat seperti orang berserban. Seperti pantun “melukut di tepi
gantang,buka sanggul cari kutu,kerana takut akal pun hilang, segala tunggul
disangkakan hantu”.Tetapi datuk merahsiakan daripada pengetahuan orang-orang
cina tersebut.
Keesokan hari, pada jam 11.00 pagi,
satu berita baik telah berlaku dimana satu platun pasukan polis hutan telah
diarahkan masuk ke kampung tersebut dan setiap rumah anggota polis dijaga oleh
5 anggota polis hutan. Manakala, datuk sempat keluar dan membawa balik bekalan
makanan seisi rumah untuk seminggu. Kata ayah,dengan kehadiran polis-polis
hutan itu, dapat mengurangkan segala ketakutan dan kerisauan. Arahan perintah
berkurung (curfew) berkuatkuasa selama 1
minggu.
Pesan ayah, ada pengajaran terselit
di sebalik pengalaman beliau pada 13 Mei 1969 ini, antaranya:
1. Tidak semua orang jahat, dalam setiap
bangsa itu ada yang jahat dan ada yang baik.
2. Dalam hidup bermasyarakat, kita
perlulah sentiasa hormat-menghormati antara satu sama lain bagi menjamin
keamanan dan keharmonian.
3. Perlu ada sikap toleransi dan bantu
membantu dalam masyarakat majmuk bagi memastikan kebajikan bersama.
4. Perlu bekerjasama antara kaum bagi memastikan
kesejahteraan Negara.
5. Semua pihak perlu bersikap realistic
dan praktikal agar dapat mewujudkan perpaduan yang boleh dinikmati semua
masyarakat. Jangan terjadi situasi marahkan nyamuk,kelambu pula dibakar.
Jadi disini tamatlah perkongsian
cerita ayah tentang pengalaman beliau ketika peristiwa 13 Mei. Diharapkan agar
yang membaca mendapat sedikit iktibar dari pengajaran disebaliknya. Doa saya,
semoga seluruh rakyat Malaysia dapat terus hidup harmoni dan sejahtera seperti
yang telah dikecapi kini dan semoga peristiwa 13 Mei ini tidak berulang kembali
seterusnya memastikan kesejahteraan dan keselamatan anak cucu cicit kita di
bumi bertuah MALAYSIA.Aminnnn…….:-)
.
No comments:
Post a Comment